Sunday, June 21, 2009

solat

Pedoman: Mengapa kita wajib solat

DALAM ajaran Islam, solat adalah ibu ibadat dan jika dijaga dengan betul, akan melahirkan kebaikan. Sebagai satu daripada rukun Islam, ia juga tiang seri kepada agama. Jika roboh ia, robohlah agama kita.

Sabda Rasulullah SAW: “Sembahyang itu tiang agama, barang siapa mendirikan sembahyang bererti mendirikan agama dan barang siapa meninggalkan sembahyang bererti dia meruntuhkan agamanya.”


Seluruh amalan individu yang meninggalkan ibadat utama itu akan tertolak dan di akhirat nanti, perkara pertama ditanya ialah solat manakala ibadat lain seperti jihad, puasa, zakat dan haji diperiksa kemudian.

Diwajibkan solat lima waktu bagi mengingatkan manusia kepada Pencipta. Tanpa peringatan, manusia tidak segan silu melakukan kemungkaran serta keganasan.

Firman Allah SWT: “Dan dirikanlah sembahyang kerana sesungguhnya sembahyang itu mencegah kejahatan dan kemungkaran.” (Al-Ankabut: 45)

Dalam masa sama, solat mampu membantu kita melawan sikap yang merosakkan kehidupan seperti bongkak, fitnah, dengki dan pelbagai lagi.

Seseorang yang solatnya gagal mencetuskan rasa kehambaan dalam hatinya mustahil mampu menjadi insan bersifat kehambaan. Akibatnya mereka termasuk dalam golongan yang mempunyai sikap ‘mazmunah’ seperti gila kuasa, mengadu domba dan banyak lagi.

Sebagai tiang seri agama dan ibu segala ibadat, solat dengan sendiri diperakui sebagai satu ibadat agung.. Ia semakin terserlah apabila Allah SWT menyampaikan perintah solat lima waktu kepada Rasulullah SAW di tempat tertinggi dan mulia iaitu ‘Arasy’, dan bukan daripada malaikat Jibril AS yang biasanya menjadi perantara menyampaikan wahyu kepada baginda.

Hanya perintah solat diterima baginda secara berdepan dengan Allah SWT, manakala perintah lain diterima di bumi melalui wahyu disampaikan Jibril AS.

Ternyata kedudukan solat sebagai ibadat teragung dinyatakan dengan tegas oleh Rasulullah SAW yang mengingatkan, sesiapa yang meninggalkannya boleh jatuh kafir. Ia menunjukkan betapa beratnya perintah bersolat kepada umat Islam.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka kafirlah ia dengan nyata.” Satu lagi sabda baginda: “Perbezaan antara orang mukmin dan kafir adalah meninggalkan sembahyang.”

Seluruh jiwa raga diperlukan bersama ketika kita mengerjakan solat, tubuh kita termasuk tangan dan kaki perlu bergerak, lidah melafaz bacaan, akal memahami bacaan manakala hati menjiwai apa yang difahami.

0 comments:

Post a Comment